4.5.09

Pencapaian Perkhidmatan Malaysia

DASAR PENSYARIKATAN MALAYSIA

Diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 1983, Dasar Persyarikatan Malaysia merupakan pendekatan asas pembangunan negara. Ia adalah suatu sistem kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta ke arah mewujudkan satu syarikat Malaysia bagi mencapai kemajuan dimana keuntungan yang didapati akan dikongsi bersama.

BERSIH, CEKAP DAN AMANAH

Pada pertengahan April 1982, Y.A.B. Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar yang menjadi amalan kepada semua di negara ini. Konsep ini adalah selaras dan sebagai asas kepada Kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 19hb. Mac,1983.

Objektif utama dasar ini adalah bagi mengujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkat hasil (productivity) dan mutu kerja dan meningkatkan semangat atau motivasi pekerja seiring dengan Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan.

SOGOSHOSHA MALAYSIA

Sogoshosha atau syarikat perdagangan am adalah satu konsep yang diperkenalkan di negara Jepun. Untuk mencapai taraf sogoshosha, sesebuah syarikat perdagangan mestilah memenuhi tiga ciri penting iaitu mempunyai rangkaian antarabangsa, mengendali barang dagangan yang banyak dan memainkan peranan utama di bidang perdagangan luar.

Di negara Jepun 'Sogoshosha' adalah merupakan satu panggilan/title yang diberikan kepada beberapa syarikat perdagangan am yang terkenal yang telah mencapai pusingan sebanyak US$20 billion setahun. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh sogoshosha telah diiktirafkan sebagai satu dari sebab-sebab negara berkenaan mencapai kejayaan yang cemerlang di bidang perdagangan luar.

Pengalaman negara tersebut telah memberi inspirasi kepada beberapa buah negara membangun termasuk Malaysia, untuk menubuhkan sogoshosha masing-masing sebagai institusi bagi memajukan eksport mereka.

DASAR PERTANIAN NEGARA

Matlamat Dasar Pertanian Negara adalah memaksimakan pendapatan daripada pertanian melalui penggunaan sumber-sumber negara dengan cekap dan mempergiatkan semula sumbangan sektor pertanian kepada pembangunan ekonomi negara keseluruhannya.

DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM PENTADBIRAN

Rasional Kerajaan memberi perhatian kepada nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia: "Dalam usaha untuk memelihara maruah Warganegara Malaysia, maka perlulah ia mempunyai satu identiti yang kukuh. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh."

DASAR SAINS DAN TEKNOLOGI

Aspirasi negara yang diilhamkan dalam Wawasan 2020 ialah pencapaian taraf sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Ini bermakna kemajuan penuh dalam semua aspek kehidupan termasuk dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan. Menurut Wawasan 2020, hasrat mencapai taraf yang benar-benar maju hanya boleh dicapai dengan mengatasi sembilan cabaran strategik yang telah ditentukan.

Kemajuan keupayaan Sains dan Teknologi (S&T) adalah cabaran yang keenam di antara sembilan cabaran yang disenaraikan. Malaysia mesti mempunyai keupayaan untuk memaju dan menyelaraskan sumber-sumber S&T yang ada dalam negara supaya mencapai hasrat "menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang berasaskan sains dan yang progresif, iaitu satu masyarakat yang berdaya cipta dan berpandangan jauh, sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi masa kini tetapi turut menjadi penyumbang kepada kemajuan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan."

Matlamat meningkatkan keupayaan S&T berasaskan kepada hasrat untuk membentuk satu "ekonomi yang cekap teknologinya mampu melakukan penyesuaian pembaharuan dan pelaburan yang berteknologi intensif dan bergerak ke arah penggunaan teknologi yang canggih."

DASAR PERINDUSTRIAN NEGARA

Penggubalan Dasar Perindustrian Negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara.

Antara objektif dasar perindustrian negara adalah menjadikan sektor perkilangan sebagai pertumbuhan perindustrian negara & ekonomi keseluruhannya. Menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber-sumber asli negara dan meninggikan tahap penyelidikan & pembangunan (R&D) teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.

DASAR WANITA NEGARA

Wanita terdiri daripada hampir separuh penduduk Malaysia. Sumbangan mereka sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, di dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama di dalam pembentukan generasi akan datang malah melupakan sumber ekonomi yang penting.

Buat masa ini, mereka merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Dari segi penyertaan buruh, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990. Di sektor luar bandar dan pertanian, wanita terus merupakan faktor penting. Gunatenaga wanita juga telah bertambah dengan banyaknya di dalam sektor pembuatan terutamanya dalam sektor tekstail dan elektronik.

Di sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan masyarakat, sosial, persendirian serta sektor awam, penyertaan wanita juga kian meningkat. Wanita juga telah lama memainkan peranan yang aktif di bidang politik negara. Mereka merupakan kumpulan pengundi yang kuat dan sering memainkan peranan sebagai penarik pengundi.

DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

WAWASAN 2020

Wawasan 2020 merupakan satu matlamat pembangunan negara dan wawasan srategik jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri dan negara yang maju menurut acuan sendiri.

Ia merangkumi kemajuan dari segi ekonomi, politik, sosial, rohani, budaya dan seterusnya mewujudkan masyarakat Malaysia yang dinamik dan berdaya saing agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia sejagat.

PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Pada tahun 2006, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama rapat dengan NGO melalui konsep perkongsian bijak. Pihak NGO akan diperuntukkan bantuan kewangan untuk menjalankan program-program seperti literasi undang-undang, latihan kemahiran, kempen kesedaran dan sebagainya.

Pada tahun 2005, sebanyak RM 2.9 juta telah diagihkan kepada NGO dan RM 4.4 juta kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri (MPWKN) untuk melaksanakan program pembangunan wanita dan keluarga. Ini telah memberi manfaat kepada 448,273 orang peserta. Untuk membantu NGO termasuk bagi badan kebajikan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya serta persatuan sukan dan belia meneruskan program/aktiviti mereka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 138 juta ringgit dalam tahun 2006.

Pada tahun 2005, bagi membantu ibu bapa berpendapatan rendah mendapat khidmat penjagaan anak secara lebih teratur dan berkualiti, Kerajaan bersetuju supaya sepuluh buah TASKA Komuniti perintis ditubuhkan di bawah kawal selia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). TASKA ini berasaskan prinsip perkongsian bijak Kerajaan-NGO di mana pihak NGO dan komuniti akan mengendalikan TASKA dengan bantuan dana Kerajaan.

Bagi membantu warga emas, golongan kurang upaya, golongan miskin dan daif, serta mangsa-mangsa bencana di peringkat akar umbi, Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MKPM) telah ditubuhkan di setiap negeri dan kawasan parlimen. Majlis ini telah yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Oktober 2005.

Program Inisiatif Kewangan Wanita (I-Kew) ini telah dilancarkan oleh KPWKM pada 25 Ogos 2005 semasa Sambutan Hari Wanita. Di bawah program ini, KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan JKM berkerjasama dengan enam buah syarikat untuk melaksanakan Program I-Kew. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kapasiti golongan wanita ke arah pembinaan dan pembangunan diri. Kumpulan sasar program ini adalah golongan wanita terutamanya ibu tunggal dan siswazah wanita yang menganggur.

Bagi memperkasakan orang awam terutama wanita mengenai kesihatan serta kepentingan pengesanan awal penyakit, Klinik Nur Sejahtera telah menyediakan Call Centre yang dinamakan Healthline Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Ia telah dilancarkan oleh Y.B. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 25 Julai 2005. Maklumat kesihatan yang dipilih adalah berdasarkan penyakit-penyakit yang kerap berlaku di Malaysia supaya pencegahan dan rawatan awal boleh dilakukan.

DASAR SOSIAL

Dasar Sosial Negara (DSN) adalah satu dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap.

Dasar ini yang diluluskan oleh kabinet pada 19 Februari 2003 bermatlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan mapan dari aspek sosial, ekonomi dan teknologi. Setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu-padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020.

ISLAM HADHARI

Islam Hadhari memberi tekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan adalah dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik, pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

DASAR AUTOMOTIF NEGARA

Rangka Dasar Automotif Nasional menggariskan objektif dan langkah-langkah bagi sektor automotif, dengan tujuan untuk memberikan garis panduan am serta arah hala tuju pembangunan masa hadapan sektor ini kepada semua pihak yang terlibat.

Adalah menjadi matlamat Kerajaan agar Dasar Automotif Nasional tersebut akan menjadi penentu dan panduan yang optimal namun fleksibel, yang akan menjajarkan semula segala objektif dan langkah, demi masa depan sektor automotif khasnya dan ekonomi Malaysia amnya.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Dengan peningkatan persaingan di pasaran global, ekonomi akan terus diperkukuh dengan meningkatkan daya saing dan menerokai sumber pertumbuhan baru. Peningkatan daya saing ini memerlukan modal insan bertaraf dunia yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, serba boleh dan kreatif serta memiliki etika kerja positif dan nilai kerohanian.

Bagi tujuan ini, penambahbaikan secara komprehensif sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat akan dilaksanakan. Program pembelajaran sepanjang hayat diperluaskan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada individu untuk meningkatkan dan menambah baik kualiti diri melalui pemerolehan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan.

No comments:

Post a Comment