4.5.09

Pencapaian Sukan Malaysia

Pencapaian Negara


Kejayaan Malaysia dalam pelbagai arena sukan telah banyak menaikkan nama negara di persada dunia. Tidak kira diperingkat mana sekali pun, tempatan atau antarabangasa, atlit-atlit negara telah berusaha terus menerus dengan penuh keazaman dan ketabahan dalam mengharumkan nama negara. Dalam sedekad yang lampau, pelbagai kejayaan telah dicapai, dalam pelbagai arena.


Badminton adalah antara sukan yang banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Keluarga Sidek dalam arena sukan tanahair bukan sekadar titian menonjolkan imej negara, malah menjadi lombong emas badminton tempatan dan menyumbang kepada perkembangan pasaran antarabangsa bernilai berjuta-juta ringgit. Kemunculan Misbun dan adik-adiknya mula memberi saingan di Asia pada awal 1980-an, mendorong kepada keberanian Kumpulan Pengurusan Antarabangsa (IMG) menerokai bidang badminton di Malaysia.


Imbasan detik kegemilangan 1992 tetap terpahat di benak fikiran pencinta badminton negara apabila melihat Piala Thomas direbut kembali di bumi sendiri dengan menamatkan kemarau suku abad. Walaupun piala itu hanya bertahan 24 bulan di bumi ini sebelum menyeberang Selat Melaka, namun kenangan sambutan orang ramai yang sanggup bermandi peluh ketika berpusu-pusu menyentuh piala kebanggaan itu yang diarak ke seluruh pelosok negara, masih jelas terbayang.


Lain pula dengan arena sepak takraw. Walaupun dalam arena ini, pencapaian pasukan negara tidak memberangsangkan, namun kejayaan memungut pingat emas pada Sukan Asia di Hiroshima, menjadi azimat apit kanan negara, Zabidi Sharif, 26, untuk terus mempertahankan pingat itu walaupun menyedari musuh tradisi, Thailand bakal menjadi penghalang. Penantian berkurun lama akhirnya sepak takraw mendapat pengiktirafan negara dengan regu emasnya di Sukan Asia Hiroshima dianugerahkan Olimpian 1994. Mungkin beberapa pihak mempertikaikan anugerah itu memandangkan sepak takraw belum melebarkan sayapnya menuju global, tetapi pengiktirafan itu adalah sebagai satu evolusi yang mencerminkan sukan tradisi itu mula membuka mata peminat dunia


Dalam pelbagai arena yang lain pula seperti boling dan skuasy. Atlit-atlit negara telah banyak mencapai kejayaan dalam pelbagai temasya, sekaligus mempertingkatan martabat negara dalam arena sukan di peringkat antarabangsa. Seharusnya kejayaan atlit-atlit negara diberi pengiktirafan yang sewajarnya, agar dapat memberikan semangat kepada atlit-atlit negara yang lain dalam mengharumkan nama negara dipersada antarabangsa.



Pencapaian Sukan Antarabangsa


Pencapaian negara dalam arena sukan dan pembangunan negara yang pesat telah membuka peluang kepada negara untuk menganjurkan pelbagai temasya sukan, seperti sukan Komanwel 1998. Setelah dua bulan, pasukan Badminton Malaysia berjaya mengembalikan Piala Thomas ke pangkuan kita. Pada 21 Julai 1992, kita berjaya pula mendapat kepercayaan negara Komanwel untuk mengadakan sukan berkenaan di Kuala Lumpur pada tahun 1998. Semua ini adalah kejayaan kita. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan perkembangan ini. Tentulah ada sesuatu yang istimewa yang menarik perhatian negara Komanwel mengenai pencapaian Malaysia menyebabkan mereka mengundi menyokong kita menjadi tuan rumah sukan itu. Sebagaimana yang diucapkan oleh Datuk Alex Lee, selaku Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia di Barcelona, "mesej yang kita sampaikan ialah jika tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah ditolak, maka negara Dunia Ketiga yang mana serta negara membangun mana pula yang mungkin boleh".


Kejayaan Malaysia menduduki tempat keempat di temasya Kuala Lumpur '98- Sukan Komanwel XVI (KL '98) adalah sesuatu yang sungguh membanggakan, malah memeranjatkan pengkritik. Siapa sangka atlit Malaysia berupaya mencatat kejayaan di luar jangkaan pegawai sukan sendiri. Pencapaian 10 pingat emas, 14 perak, 12 gangsa di belakang juara keseluruhan Australia, 80-61-58; England, 36-47-53 dan Kanada 30-31-38 dianggap prestasi terbaik dalam sejarah penyertaan negara. Pada Sukan Komanwel di Victoria '94, Kanada, kita hanya menduduki tempat ke-13 dengan dua emas, satu perak dan dua gangsa. Lebih manis lagi pencapaian itu melepasi ramalan yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebelum temasya sukan setiap empat tahun itu bermula.


Kemajuan infrastruktur negara telah sekali lagi memberi peluang kepada negara untuk menganjurkan pelbagai temasya sukan yang lain. Wawasan Perdana Menteri untuk membina sebuah litar lumba formula satu di Sepang, pada mulanya telah mendapat pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak. Namun, setelah terbinanya Litar F1 Sepang, Malaysia telah berjaya dengan julung-julung kalinya mengadakan perlumbaan Formula Satu pada bulan November 1998. Selain daripada itu, di Litar F1 Sepang juga, Malaysia telah menganjurkan perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia.


Tidak cukup dengan itu, kini Malaysia adalah diantara calon-calon yang akan dipilih sebagai tuan rumah bagi temasya Sukan Asia 2006. Dengan kelengkapan dan infrastruktur yang tercanggih, tidak hairanlah jika negara kita terpilih sebagai tuan rumah. Pengiktirafan sebegini seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kejayaan yang akan ditempa oleh atlit-atlit negara pada masa depan perlulah disertakan keazaman dan ketabahan yang kental agar digeruni dan dihormati semua di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment